REFLEKSI INDIVIDU
PENULISAN REFLEKSI GKK 1043 KESAN SENAMAN TERHADAP FISIOLOGI BADAN MANUSIA
Ujian Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan atau lebih dikenali sebagai ‘SEGAK’ secara ringkasnya telah diilhamkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 2005 yang mana bertujuan untuk memastikan seseorang itu sentiasa peka, berpengetahuan serta mengamalkan aktiviti kecergasan untuk meningkatkan dan mengekalkan tahap kecergasan fizikal berdasarkan kesihatan yang optimum. Syukur ke hadrat ilahi, saya dan rakan sekelas unit Tesl 1 telah berjaya mengendali dan menjalani ujian ini dengan baik dan lancar pada hari rabu 11 September 2019. Dengan ini, saya telah berjaya melengkapkan kerja kursus Kesihatan dan Kecergasan Diri (GKK 1043) ini yang mana telah ditugaskan kepada siswa guru di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada pensyarah GKK saya iaitu Encik Ahmad Jalani Bin Halus kerana telah banyak membantu saya dalam menyiapkan tugasan ini dan seterusnya rakan-rakan serta pihak lain yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.
Berdasarkan setiap ujian
yang dijalankan dalam SEGAK ini, saya dapat mengenal pasti yang setiap aktiviti
yang saya lalui menguji 5 aspek kecergasan iaitu daya tahan kardiovaskular,
daya tahan otot, kekuatan otot, kelenturan serta BMI. Dalam masa yang sama,
ujian Bleep juga dijalankan yang mana bertujuan untuk menguji daya tahan
kardiovaskular saya iaitu keupayaan sistem kardiorespiratori untuk melakukan
kerja bagi satu jangka masa yang lama dan berterusan.
Sepanjang proses
menjalani ujian tersebut, saya telah banyak mempelajari benda dan memperoleh
keputusan yang baik. Antaranya ialah pada ujian ‘pre-test’, saya mempunyai BMI
yang normal iaitu 20.4 dengan berat 51kg dan tinggi 158cm. Pada ujian
‘post-test’ yang baru-baru ini dijalankan, saya berhasil mengekalkan BMI yang
normal dan dengan nilai yang sama iaitu 20.4 dengan berat 51.5kg dan tinggi
159cm. Saya yakin bahawa penjagaan pemakanan saya dengan baik selama ini telah
banyak menyumbang kepada keputusan yang memuaskan itu. Saya telah banyak
mengubah cara pemakanan dengan mengurangkan pengambilan gula yang berlebihan dan
menjauhkan diri daripada makanan ringan yang sangat tidak berkhasiat.
Seterusnya bagi ujian
Bleep pula, saya telah berhasil melakukan perubahan yang besar dan keputusannya
sangat memberangsangkan. Pada ujian ‘pre-test’, saya hanya berupaya memperoleh
tahap 2 pusingan 8 yang mana merupakan tahap yang tidak sepatutnya saya
perolehi. Namun, saya telah bertekad untuk berubah dan syukur alhamdulillah,
saya berjaya memperoleh tahap 4 pusingan 3 pada ujian ‘post-test’ yang mana
merupakan pencapaian yang agak baik. Sebelum menjalani ujian ‘post-test’ ini,
saya telah melakukan banyak persediaan untuk meningkatkan kecergasan diri iaitu
saya telah berjoging setiap petang bersama rakan-rakan dan memastikan saya
sentiasa bergerak dan berpeluh setiap hari melalui aktiviti-aktiviti sukan
seperti badminton dan bola tampar.
Melihat kepada pencapaian
saya dalam ujian ‘pre-test’ dan ‘post-test’ dan peningkatan yang berlaku, saya
dapat mengenal pasti aspek kecergasan yang terlibat dalam setiap ujian yang
dijalankan dan saya menyedari akan kepentingan ujian SEGAK dan Bleep dalam
meningkatkan serta mengekalkan kesihatan diri. Dengan ini, saya sentiasa boleh
menjalani kehidupan seharian saya dengan baik dan cergas.
Comments
Post a Comment